Harga petrol naik 1 sen, diesel kekal

A vehicle getting refueled at a petrol station. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 15 Feb: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 akan naik 1 sen seliter manakala harga runcit diesel akan kekal bermula tengah malam ini sehingga 22 Febuari depan.

Kenyataan media Kementerian Kewangan di laman sesawangnya www.treasury.gov.my hari ini, mendedahkan harga runcit petrol RON97 akan naik kepada RM2.28 seliter, manakala harga runcit RON95 naik kepada RM1.98 seliter.

Harga runcit diesel pula akan kekal pada paras RM2.18 seliter.


Harga runcit petrol dan diesel untuk minggu 16-22 Febuari yang disiarkan dilaman Facebook Kementerian Kewangan.

Menurut kementerian itu, harga purata produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia telah meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$62 setong kepada AS$63 setong bagi petrol RON95, dan daripada AS$73 setong kepada AS$74 setong bagi diesel.

“Peningkatan harga pasaran global ini telah menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel. Namun harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh Kerajaan iaitu RM2.20 seliter.

“Bagi produk diesel, peningkatan harga pasaran ini menyebabkan harga runcit produk diesel sepatutnya naik sebanyak 1 sen seliter berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, menjadikan harga pasaran sebenar sebanyak RM2.20 seliter,” kementerian berkata.

Kenaikan minima bagi kedua-dua produk ini juga didorong oleh faktor pengukuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding mata wang Dollar Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, selaras dengan janji Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit diesel pada paras RM2.18 seliter, harga runcit diesel bagi tempoh 16-22 Februari 2019 adalah dikekalkan pada paras RM2.18 seliter dan bukannya RM2.20 seliter. — DayakDaily