Harga buah kelapa sawit meningkat memberi harapan kepada pengusaha tempatan

Pekebun kecil kelapa sawit di Simunjan yang sedang memaut buah kelapa sawit ke atas kenderaan pacuan empat roda untuk dihantar ke kilang.

SIMUNJAN, Feb 17: Harga buah kelapa sawit di Sarawak kini semakin pulih dan komoditi tersebut mula kembali memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha ladang dan pekebun kecil sawit di luar bandar negeri ini.

Mengikut laman Facebook Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga buah kelapa sawit dipintu kilang di negeri ini pada Febuari 15 lepas ialah Gred A mencecah RM420 setan, Gred B (RM401 setan) dan Gred C (RM382 setan).

Ini meningkat berbanding November 28, 2018 dengan harga buah kelapa sawit di pintu kilang di negeri ini pada paras terendahnya iaitu Gred A pada RM343 setan, Gred B (RM328 setan) dan Gred C (RM312 setan).


Sementara itu, pekebun kecil sawit, Danieus Ibay, 27 dari Simunjan berkata ketika ini harga buah itu yang ada dipaparkan di Simpang Gedong/Serian dan Simpang Salcra Balai Ringin yang menjadi rujukan utama penduduk Simunjan juga menunjukkan peningkatan walaupun berbeza dengan harga MPOB.

“Tahun lepas harga kelapa sawit jatuh dengan Gred A sekitar RM305 setan apabila dihantar saya ke kilangnya di Balai Ringin. Tahun ini harganya ada meningkat dan kini mencecah sekitar RM350 setan apabila dihantar ke kilang terbabit,” katanya yang mempunyai lesen menjual kelapa sawit dari MPOB.

Beliau mengakui harga kelapa sawit Gred A RM350 setan itu mampu memberikannya pendapatan lebih lumayan dianggaran sekitar RM3,000 sehingga RM4,000 sebulan hasil mengusahakan kebun kelapa sawit seluas 40 ekar di Simunjan ketika ini.

Sehubungan itu, Danieus memohon kerajaan terus memastikan harga buah kelapa sawit ini tidak jatuh lagi kerana harga komoditi itu yang tinggi bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada belia luar bandar sepertinya tetapi juga membantu mengurangkan kemiskinan di luar bandar.

Disamping itu, berikutan harga buah kelapa sawit kembali meningkat di kilang, beliau memutuskan membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi mengangkut sendiri hasil sawit dari kebunnya ke kilang memproses buah itu di Balai Ringin setiap hari mulai tahun ini.

Menurutnya, pembelian kenderaan tersebut melalui pinjaman bank dikenakan bayaran ansuran bulanan RM1,300 sebulan dan menjangkakan pinjaman itu mungkin mampu dilangsaikannya lebih awal dari tempohnya sekiranya harga sawit terus meningkat. — DayakDaily