Harga, bekalan ayam di Sarawak terkawal dan mencukupi

Anggota Penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemantauan harga dan bekalan ayam di Kuching.

KUCHING, 15 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap harga ayam disaran seluruh Sarawak.

Ini berikutan isu terkini mengenai kenyataan kenyataan yang tular di media sosial berkenaan kenaikan harga ayam di pasaran negeri ini.

Justeru KPDNHEP Sarawak mengambil langkah proaktif terhadap isu tersebut dan beberapa tindakan berkaitan termasuk pematauan dan penguatkuasaan diambil bagi menangani isu kenaikan harga terbabit.


“Seramai 176 anggota pegawai penguatkuasa seluruh negeri Sarawak yang merangkumi sembilan cawangan KPDNHEP di seluruh Sarawak telah berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk terus membuat pemantauan dan pemeriksaan.

“Ini bagi memastikan bekalan dan harga barangan keperluan adalah stabil dan mencukupi bagi musim perayaan ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, purata pengeluaran tiga ladang penternakan utama di Sarawak yang berjumlah 1,721,015 ekor ayam sebulan adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di seluruh Sarawak.

Jelasnya, berdasarkan kutipan harga oleh Bahagian Majlis Harga Negara (BHBN) KPDNHEP Negeri Sarawak, harga jualan ayam bersih standard bagi tempoh Januari hingga April 2021 adalah diantara RM7.90 hingga RM8.80 sekilogram.

Harga tersebut, tegas kenyataan itu, adalah pada aras normal dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan luar biasa.

Sementara itu, menerusi Ops Pasar 2021 baru-baru ini, sebanyak 106 Notis Pengesahan Maklumat barangan atau perkhidmatan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Daripada jumlah tersebut, 33 notis telah dikeluarkan kepada peniaga ayam, 46 notis bagi peniaga sayuran manakala 27 notis bagi peniaga daging.

“Notis-notis ini dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat harga barangan dan kos langsung secara harian untuk tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bagi tempoh 1 Januari sehingga 14 April 2021, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 17,394 premis perniagaan pelbagai peringkat seperti ladang, pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong serta peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

Ujarnya, sepanjang tempoh terbabit sebanyak 379 kes telah berjaya dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM648,155.90 dan jumlah kompaun sebanyak RM35,150.

“Sekiranya didapati peniaga menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu mana-mana orang dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan, mencatut dalam menjual atau menawarkan untuk menjual dan membekal apa-apa barang atau perkhidmatan.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehinggaRM500,000,” tambah kenyataan itu. ā€” DayakDaily