Harga ayam runcit dibawah harga kawalan maksimum — KPDNHEP

KPDNHEP logo

KUCHING, 18 Okt: Harga purata ayam di peringkat nasional adalah RM9.18 sekilogram.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof, ia adalah berdasarkan cerapan harga harian pada 15 Oktober 2022.

“Manakala harga purata bagi Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM9.13 sekilogram.


“Ini bermakna, harga ayam runcit sebenarnya masih di bawah harga kawalan maksimum RM9.40 sekilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, program mekanisme kawalan harga maksimum bagi ayam dan telur telah dilaksanakan semenjak 5 Februari 2022.

Katanya, mekanisme ini dilaksanakan untuk mengekang peningkatan harga ayam dan telur ayam secara mendadak di pasaran terutamanya selepas musim perayaan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHHMP).

“Seperti komoditi lain, harga bagi ayam dan telur ayam akan turut terkesan dan mengalami perubahan selaras dengan pergerakan kos input pengeluaran seperti jagung bijian dan soya.

“Namun begitu, kerajaan akan terus komited dalam memastikan harga di setiap rangkaian bekalan tidak akan melebihi harga maksimum,” ujar beliau. — DayakDaily