Harga ayam ditetapkan RM8.90 mulai 5 Feb ini

Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING, 2 Feb: Harga siling runcit ayam standard ditetapkan pada RM8.90 berkuatkuasa pada 5 Februari 2022.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia setelah berakhirnya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 4 Februari ini.

“Harga ini akan kekal sehingga 5 Jun 2022 iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga harga makanan lain yang berkaitan.

Advertisement

“Penetapan harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak akan dibuat berdasarkan lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, keputusan penetapan harga itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Januari lepas.

Ujar beliau, harga runcit RM8.90 ini merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa Perayaan Deepavali.

Ia kemudiannya diturunkan kepada RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7-31 Disember 2021 dan RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.

“Penetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil,” katanya.

Menurut Nanta, mesyuarat telah diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya merangkumi 70 peratus kos penternakan ayam.

Dengan peningkatan kos pengeluaran, katanya, maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan.

“Sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10.00 sekilogram,” ujar Nanta. — DayakDaily

Advertisement