PVTKR catat keahlian lebih 1,000

Malcolm (depan, berdiri tengah) pada Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-6 PVTKR. Turut kelihatan Mohd Melintang (depan, tiga dari kanan).

KUCHING, 2 Feb: Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) kini telah mempunyai lebih 1,000 ahli di seluruh negeri.

Menurut Presiden PVTKR Leftenan Kolonel (B) Mohd Melintang Abdullah, jumlah tersebut dicapai walaupun persatuan masih di usia muda.

“Hampir setiap minggu kita menerima permohonan untuk menjadi ahli-ahli baharu di dalam persatuan.


“Faktor utama ramai veteran ingin menyertai PVTKR adalah disebabkan ahli EXCO dan ahli PVTKR memberi perkhidmatan yang baik dan efisen,” katanya dalam ucapan di Mesyuarat Agung Tahunan ke 6 PVTKR di Kuching pada Isnin (31 Jan) lepas.

Mohd Melintang turut menggesa semua ahli PVTKR agar terus mengamalkan nilai teras iaitu komitmen, keikhlasan, kerjasama dan kesungguhan dalam PVTKR.

Katanya, ini bagi merealisasikan impian PVTKR yang ingin meneruskan legasi Kor Rejimen Renjer DiRaja yang telah banyak berjasa kepada keamanaan negara serta melahirkan ramai Bujang Berani.

Majlis penutupan mesyuarat telah disempurnakan Menteri Muda Pedagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh.

Malcolm turut menyampaikan sumbangan kepada PVTKR bagi membantu melaksanakan aktiviti-aktiviti persatuan.

Turut hadir Penasihat PVTKR Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sarawak Mejar Pahot Joll. — DayakDaily