Guru wanita maut dalam kemalangan jalan raya di Tebedu

Kereta mangsa terbabas lalu melanggar 'culvert' konkrit di tepi jalan raya tersebut.

SERIAN, 4 Nov: Seorang guru wanita maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di Kilometer 5 Jalan Serian-Tebedu iaitu berdekatan dengan simpang Kampung Sorak, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 29, semasa kejadian memandu sebuah kereta dipercayai menuju ke sekolah tempatnya mengajar iaitu SMK Tebedu pada jam 7.20 pagi.

Katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Pangkalan Kuap itu bagaimanapun dipercayai gagal mengawal keretanya sehingga terbabas lalu melanggar ‘culvert’ konkrit di tepi jalan raya tersebut.


Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan leher telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dari Hospital Serian yang hadir di lokasi kejadian.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, cuaca pada masa kemalangan dikatakan hujan dan keadaan permukaan jalan raya pula basah serta berselekoh.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily