Penunggang motosikal terlibat kemalangan di Kota Samarahan, disahkan meninggal dunia

Keadaan motosikal milik mangsa.

KOTA SAMARAHAN, 4 Nov: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas terlibat kemalangan kendiri di Kilometer 19 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, berdekatan Kampung Rebak, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang berusia 54 tahun semasa kejadian dikatakan bergerak dari arah Asajaya menuju ke Kota Samarahan pada jam 5.30 pagi.

Katanya, mamgsa dari Kampung Semera Hilir, Sadong Jaya itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya sehingga terbabas sendiri.

Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily