Guru wanita jadi mangsa ‘parcel scam’ rugi RM5,500

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Okt 5: Seorang guru menjadi mangsa terbaharu sindiket ‘parcel scam’ di Sarawak apabila dia mengalami kerugian sebanyak RM5,500.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku antara 27 Sept dan 2 Okt lepas.

Bagaimanapun jelasnya, guru wanita tersebut hanya membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam.


“Berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki Eropah yang menyamar sebagai Andrew memberitahu ingin memberikan mangsa hadiah.

“Selang beberapa hari selepas itu, mangsa telah menerima panggilan telefon dari seorang perempuan dan telah meminta mangsa membayar sebanyak RM1,500 untuk hadiah tersebut dan memasukkan wang ke dalam akaun suspek.

“Mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM1,500 ke dalam akaun suspek bertempat di CIMB Bank Cawangan Satok pada 27 Sept lepas,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, selepas mangsa memasukkan wang itu, dia sekali lagi dihubungi oleh perempuan sama dan memberitahu bahawa jumlah pembayaran tidak mencukupi kerana pertukaran wang asing.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa membuat pembayaran sekali lagi berjumlah RM4,000 untuk penghantaran hadiah tersebut di bertempat di CIMB Bank stesen Petronas Matang pada 2 Okt lalu.

“Selepas merasa dirinya tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily