This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 23 Julai: Seorang guru lelaki sekolah swasta di Sibu rugi RM89,000 setelah menjadi mangsa kes penipuan pelaburan atas talian.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri, mangsa membuat laporan polis pada 21 Julai lepas setelah menyedari ditipu.
“Mangsa telah berkenalan dengan seorang perempuan yang dikenali Jooyee Yap Jia menerusi aplikasi tantan.
“Beberapa hari selepas perkenalan suspek telah mengajak mangsa untuk membuat pelaburan emas, dimana suspek menjanjikan keuntungan lebih kurang 18 peratus daripada jumlah modal pelaburan,” kata Mohd Azman dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian diminta untuk memuat turun aplikasi bfmdtrade sebelum suspek meminta mangsa membuat pembayaran wang pelaburan ke beberapa akaun bank.
Katanya, mangsa telah melakukan 18 transaksi pemindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM89,000 ke 11 akaun bank berlainan diantara penghujung April 2023 hingga penghujung Mei 2023.
“Mangsa menyedari ditipu setelah tidak menerima apa-apa pulangan daripada pelaburan dan suspek juga gagal dihubungi,” kata Mohd Azman. — DayakDaily