Graduan Institut Latihan KKM diseru membantu kerajaan mengurangkan penyakit tidak berjangkit

Dr Chen memukul gong sebagai simbolik merasmikan Majlis Konvokesyen 2018 Institut Latihan KKM Zon Sarawak di Dewan DeTAR Putra, Unimas.

KOTA SAMARAHAN, Okt 2: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu graduan Institut Latihan KKM di Sarawak membantu kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) mengurangkan penyakit tidak berjangkit dikalangan penduduk negara ini.

Ketua Setiausaha KKM, Dato’ Seri Dr Chen Chaw Min berkata demikian dan menjelaskan tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit juga antara janji PH kepada penduduk negara ini yang dalam usaha mempertingkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan.

“Juga melalui apa yang dinyatakan dalam Janji 9: Mempertingkat Akses dan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan yang mana kerajaan PH akan memberikan tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit,”katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Latihan KKM Zon Sarawak di Dewan DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini, hari ini.

Lebih 1,300 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing di majlis tersebut yang juga dihadiri Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan KKM, Dr Zainal Abidin Sait dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim dan Pengarah Institut Latihan KKM Sarawak, Hawa Ragi.

Dr Chen sehubungan itu berharap graduan terbabit yang bakal menjadi warga KKM dapat memberi perkhidmatan di masa akan datang bersesuaian dengan peningkatan penyakit tidak berjangkit selain peningkatan pesakit warga emas dan penemuan perubatan terkini.

Beliau berkata sebagai penjawat awam, graduan terbabit selepas ini juga perlu menyampaikan segala ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari mereka dengan menjadi duta dan teladan mengelakkan penyakit tidak berjangkit.

“Oleh yang demikian para graduan hendaklah menjadi duta dan teladan dalam menyemarakkan perlaksanaan aktiviti-aktiviti KKM, contohnya pengamalan cara hidup sihat terutamanya bagi mengurangkan faktor risiko penyakit tidak berjangkit,” katanya.

Disamping itu, beliau turut mengingatkan graduan Institut Latihan KKM di Sarawak supaya memberikan perkhidmatan yang mempunyai ciri ciri keperihatinan dan penyayang yang sesuai dengan moto KKM “Kami Sedia Membantu” dan “Untuk Sembuh Kadang-Kadang, Untuk Melegakan Selalunya, Untuk Selesa Sentiasa”.

“Anggaplah pesakit serta keluarga mereka seperti keluarga kita sendiri. Jangan lupa juga dua prinsip penting di dalam penyampaian perkhidmatan yang berkesan iaitu CTI (Cepat, Tepat, Integriti) dan PCI (Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi),” katanya.

Selain itu, Dr Chen juga menyeru para graduan supaya sentiasa berusaha menambah ilmu dalam bidang kesihatan berikutan sistem kesihatan sentiasa berhadapan isu dan cabaran berkait rapat dengan perubahan profil demografi, penyakit berjangkit dan penyakit berkaitan gaya hidup. — DayakDaily