GPS pembela dan penyelamat rakyat Sarawak, kata Julaihi

Dari kiri- Abang Johari dan Julaihi bersama pemimpin lain di Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rambungan di Lundu hari ini (Nov 24, 2019).

Chris Bishop

LUNDU, Nov 25: Kerajaan Negeri adalah pembela dan penyelamat kepada pembangunan di Sarawak, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

Berucap di Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rambungan di Lundu hari ini, beliau berkata Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mengambil alih tiga projek jambatan yang telah dibatalkan Kerajaan Pusat Pakatan Harapan(PH).


“Peruntukan untuk projek ini telah disekat oleh pihak-pihak yang tidak mengutamakan keperluan penduduk-penduduk di luar bandar.

“Projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan ini tidak diberi keutamaan dan telah ditarik balik bersama-sama dengan dua lagi projek jambatan lain iaitu Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Igan,” katanya.

Justeru Julaihi menyeru rakyat Sarawak agar dapat menilai perjuangan sebenar Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Majlis yang diadakan di Pekarangan Terminal Feri Batang Rambungan itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jambatan Batang Rambungan merupakan sebuah jambatan jenis ‘cable-stayed’ yang bernilai kontrak RM98.5 juta dan akan dibina dalam tempoh tiga tahun.

Tambah Julaihi, keputusan membina Jambatan Batang Rabungan adalah tepat pada masanya setelah jumlah kenderaan yang menggunakan kemudahan feri semakin meningkat.

“Purata jumlah kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri Batang Rambungan adalah lebih kurang 85,000 sebulan dan ini sangat tinggi.

“Pembinaan jambatan ini bakal memberi kemudahan kepada penduduk di Kuching dan Lundu yang lebih kurang 36,000 orang.

“Siap kelak, penduduk yang berulang-alik dari Kuching hendak ke Lundu, Sematan dan Telok Melano tidak perlu berbaris panjang menunggu feri sehingga berjam-jam terutamanya di musim perayaan,” ujar beliau.

Pada sidang media bersama Abang Johari selesai upacara, Julaihi berkata kerja-kerja pembinaan projek jambatan-jambatan lain di sepanjang laluan Jalan Pesisir sudah pun dimulakan.

“Projek Jambatan Sungai Paloh, Batang Lassa, Kuala Kemena, Batang Rajang, Sungai Krian, Batang Saribas telah pun bermula di lapangan dan Batang Rambungan kita lancarkan hari ini.

“Hanya projek Jambatan Batang Lupar dan Batang Igan yang belum mula,” katanya. — DayakDaily