GPS fokus bangunkan Sarawak, ketepikan politik — Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg - file pic
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 Jun: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tegas mengatakan bahawa kerajaan GPS fokus kepada usaha membangunkan Sarawak, dan menolak politik ingin menjadi perdana menteri.

Katanya, isu perdana menteri adalah perkara kedua dan apa yang diperlukan pada masa sekarang adalah sebuah kerajaan diperingkat pusat
yang stabil.

Advertisement

“Pertama, pendamik Covid-19 masih belum selesai dan keduanya berhubung keadaan ekonomi negara.

“Kita memerlukan kepimpinan yang fokus untuk menyelesaikan semua masalah ini.

“Apa hendak direbut menjadi perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah ada dan dengan demikian berilah beliau peluang,” katanya.

Abang Johari yang juga presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Segedup ke Sungai Maong di sini, hari ini.

Tambah beliau, Sarawak pada masa kini sibuk dengan projek pembangunan di bandar dan luar bandar dengan pembinaan jalanraya, jambatan dan
bekalan air serta elektrik.

Menurutnya, perkara politik diketepikan dan beliau berharap agar semua projek yang dirancang bakal siap pada tahun 2025.

“Kita di Sarawak sibuk dengan pembangunan, orang lain bergaduh hendak menjadi perdana menteri.

“Termasuk nama saya pun dilibatkan sama, mereka berebut ingin berjumpa saya.

“Tak habis-habis sibuk hendak menjadi perdana menteri, sudahlah,” ujar
Abang Johari.

Berhubung projek pembinaan lima jambatan yang telah dibatalkan kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan (PH), Abang Johari berkata kerajaan negeri tetap akan meneruskannya dengan menggunakan dana sendiri.

Katanya, tiada keperluan untuk meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengkaji semula kerana ia mungkin mengambil tempoh yang lama. — DayakDaily

Advertisement