GPS diseru tingkatkan jumlah calon wanita di Parlimen dan DUN

Fatimah (duduk tengah) pada sidang media di Komplek DUN hari ini. (22 Nov 2022).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Nov: Kesungguhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mengangkat martabat wanita terutamanya dalam penglibatan politik wajar terus dipergiatkan, kata Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, ini dapat dilaksanakan dengan meningkatkan lagi bilangan pencalonan wanita bukan sahaja dalam Parlimen bahkan sebagai ADUN Sarawak.

Advertisement

“Bahkan atas kepercayaan dan kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kesemua lima pencalonan wanita bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya meraih kerusi dimana dua daripadanya muka baharu,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Petra Jaya hari ini.

Lima calon wanita GPS yang menang ialah Dato Sri Nancy Shukri yang bertanding di Parlimen Santubong, Datuk Rubiah Wang (Kota Samarahan), Rodiyah Sapiee (Batang Sadong), Dato Sri Doris Sophia Brodi (Sri Aman) dan Dato Hanifah Hajar Taib di Mukah.

Tambah Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, sebagai pemimpin dari kalangan wanita yang bertanggungjawab adalah menjadi tugas utama untuk terus berkhidmat demi kebaikan semua.

Katanya, pemimpin wanita ini akan berkhidmat sepanjang masa, tanpa mengira waktu kerana ini telah menjadi aspirasi dan amalan perjuangan kaum Wanita GPS.

“Mandat telah diberikan kepada rakyat dan mereka telah meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada kita untuk terus membuktikan dan meyakinkan bahawa calon yang dipilih adalah yang terbaik.

“‘Post-mortem’ bagi meneliti dan mengkaji semula keputusan dan maklum balas dari pelbagai pihak, sepanjang musim berkempen sempena PRU15, adalah digalakkan.

“Agar usul yang diketengahkan di Dewan Rakyat adalah sejajar dengan keperluan rakyat pelbagai lapisan terutamanya golongan warga emas, berkeperluan khas, wanita, kanak-kanak dan belia,” ujar Fatimah. — DayakDaily

Advertisement