GPS akur titah Yang di-Pertuan Agong bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan — Doris

Dato Sri Doris Sophia Brodie

KUCHING, 19 Dis: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan sepenuh kepercayaan dan akur akan titah Yang di-Pertuan Agong berteraskan prinsip Rukun Negara dan mengikut kuasa yang ada pada Baginda di bawah Perlembagaan Malaysia bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Menurut MP Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodie, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menasihatkan supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk bagi mengatasi kemelut politik Negara.

“Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah menyaksikan satu situasi di mana tiada parti politik atau gabungan parti politik yang telah berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan.


“Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya kesemua parti termasuk GPS mempertimbangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memudahkan pembentukan kerajaan baharu selepas PRU-15.

“Titah Seri Paduka itu adalah berdasarkan keadaan ketika itu dengan tiada seorang pun memperoleh majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam ucapan usul undi percaya Perdana Menteri di Persidangan Parlimen hari ini.

Tambah Doris, Yang di-Pertuan Agong mahukan kerajaan yang kuat iaitu sebuah kerajaan yang stabil.

Katanya, idea penubuhan Kerajaan Perpaduan merupakan cerminan kebijaksanaan dan keprihatinan Baginda Tuanku demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Perpaduan akhirnya dibentuk dengan Yang Amat Berhormat Tambun, telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10,” ujar Doris. — DayakDaily