Golongan belia aset negara yang perlu dibentuk dengan baik, kata Abdul Karim

Abdul Karim (duduk sembilan dari kiri) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli Majlis Perundingan Belia Negara Sarawak.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 24: Golongan belia perlu dipersiapkan selengkap-lengkapnya bagi memikul tanggungjawab meneruskan agenda pembangunan negara.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata mereka adalah aset negara yang penting.

Advertisement

Menurut beliau, golongan belia perlu dibentuk dengan baik supaya negara dan negeri mencapai kejayaan dan selamat.

“Maka dengan itu, pihak kerajaan secara nyata telah memberi fokus yang khusus terhadap golongan ini selaku pewaris dan pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di perasmian Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Tambah Abdul Karim, Kementerian Belia dan Sukan(KBS) di peringkat kebangsaan dan kementerian beliau amat perihatin terhadap golongan ini.

Sehubungan dengan itu, program berbentuk keilmuan untuk merealisasikan konsep ‘Dari Belia Untuk Belia’ telah dirangka dan dilaksanakan.

“Konsep sama rata dalam pembangunan negara sememangnya diamal dan saya difahamkan konsep perbincangan dengan pemegang taruh akan memberi impak yang besar kepada masyarakat agar golongan belia kita sedar bahawa kerajaan amat menghargai mereka.

“Sokongan golongan belia dalam inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan adalah penting demi menjayakan misi dan visi membina modal insan terbaik,” kata Abdul Karim.

Disamping itu, beliau menegaskan yang golongan belia pada hari ini berdepan dengan cabaran baharu yang dibawa oleh era globilasasi.

Globilasasi, katanya, adalah instrumen terbaharu negara-negara industri mengekalkan kuasa budaya dan ekonomi mereka ke atas negara lain di seluruh dunia.

Sekiranya tidak dikawal, sedikit demi sedikit ia akan mencairkan keutuhan dan kebebasan sesebuah negara terutamanya negara kecil dan yang sedang membangun.

“Perkembangan global kini juga disalurkan dengan pantas oleh perkembangan teknologi maklumat dimana penguasaan bahasa dan kemahiran teknologi maklumat adalah penting untuk berkomunikasi dan bertindak pada zaman ini.

“Antara cabaran besar yang kita hadapi sekarang ialah dari segi ekonomi, sosial, politik dan teknologi yang harus diberi perhatian oleh golongan belia,” tegas Abdul Karim.

Menurut sumber daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2016, jumlah penduduk Sarawak ialah seramai 2.749 juta dan 743,000 atau 32 peratus terdiri dari golongan belia yang berumur 15 hingga 30 tahun.

Dari jumlah tersebut, belia lelaki adalah 373,000 atau 51 peratus manakala bagi belia perempuan pula seramai 317,000 atau 49 peratus. — DayakDaily

Advertisement