Geran RM1 juta untuk program membantu ibu tunggal berniaga

Fatimah (enam dari kiri) bersama ahli PITSA memotong kek ulangtahun ke-20 persatuan itu di Majlis Silaturahim Aidilfitri dan Gawai anjuran PITSA, di Kuching.

KUCHING, Jun 24: Kerajaan Sarawak telah memberi geran peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menjalankan program membantu ibu tunggal di Sarawak memulakan perniagaan sendiri tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga, Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata geran RM1 juta tersebut diberikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) yang dibawah kementeriannya.

“Kita telah diberi geran oleh Ketua Menteri sebanyak RM500,000 pada tahun pertama dan tahun ini bertambah kepada RM1 juta, jadi maksima geran itu yang boleh dipohon (seorang ibu tunggal) sebagai modal permulaan perniagaan ialah sebanyak RM5,000,” jelas Fatimah ketika Majlis Silaturahim Aidilfitri dan Gawai anjuran Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) di sini, semalam.


Majlis itu juga dihadiri Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Persekutuan dan Pemantauan Projek Syarifah Hasidah Syeed Aman Ghazali, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai dan Presiden PITSA Salmah Ibrahim.

Fatimah berkata geran sebanyak RM5,000 itu adalah juga bagi ibu tunggal membeli pelbagai peralatan dan bahan memulakan perniagaan serta mereka juga akan turut diberi latihan di Pusat Latihan Wisma Wanita di Petra Jaya di sini.

Sehubungan itu, beliau mempelawa ibu tunggal di Sarawak termasuk seramai 16,000 ahli PITSA yang mahu memulakan perniagaan sendiri supaya memohon geran berkenaan dengan borangnya boleh didapati dari JWKS.

“Kita memang menggalakkan supaya ibu tunggal dapat menceburi bidang perniagaan dan seterusnya mereka dapat menambah pendapatan dan tidak lagi perlu bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau berkata ketika ini, JKM ada membantu ibu tunggal yang menghadapi masalah kewangan dengan bantuan yang maksima sebanyak RM450 sebulan selain bantuan Skim Kanak-Kanak bagi membantu mereka menanggung kos membesarkan anak.

Sementara itu, Fatimah juga akan membantu PITSA berjumpa Ketua Menteri bagi berunding mengenai arahan kepada persatuan itu untuk mengosongkan bangunan yang digunakan satu taskanya di Jalan Ong Tiang Swee dalam tempoh empat bulan kerana bangunan ganti diberikan kepada PITSA di Jalan Bampflyde perlu kerja membaikpulih lebih lama dari tempoh itu disamping menelan kos sebanyak RM500,000.

Selain itu, pihaknya akan meminta kementerian berkaitan perumahan mengambil perhatian terhadap permohonan ibu tunggal di Sarawak bagi mendapatkan skim bantuan memiliki rumah kos rendah. — DayakDaily