Geng Wan Kurus aktif curi kenderaan sejak November lalu, tumpas

Mohd Azman bersama Mancha, Lukas dan Ahsmon memeriksa kereta dipercayai dicuri yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 6 Julai: Geng Wan Kurus, yang disyaki aktif mencuri kenderaan di sekitar Kuching sejak November tahun lalu tumpas kepada pasukan khas Ops Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata sindiket tersebut lumpuh selepas lima anggota geng terbabit ditangkap dalam satu serbuan di kawasan Sungai Maong pada 27 Jun lalu.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 36 hingga 40 tahun dan merupakan warga tempatan.


“Pasukan operasi turut membuat rampasan tujuh buah motosikal serta tiga buah kereta.

“Hasil tangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal dan tiga kes kecurian kereta,” katanya dalam satu sidang media khas di IPD Kuching, hari ini.

Difahamkan, kumpulan ini dianggotai sembilan individu termasuk warga asing yang kini masih diburu pihak polis.

“Modus operandi sindiket ini mensasarkan lokasi sekitar bandaraya Kuching dan kawasan perumahan Padawan.

“Kumpulan ini mensasarkan motosikal jenama Yamaha dan kenderaan jenis Proton Wira yang mempunyai permintaan tinggi di negara jiran,” katanya.

Dedahnya juga, sindiket ini menggunakan alat pemutar skru yang diubahsuai dan satu master ke serta beberapa alat perkakas lain untuk mencuri kenderaan.

“Jumlah kerugian akibat perbuatan jenayah oleh sindiket ini dianggarkan RM150,000,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan kakisan dan letupan dan senjata berbahaya 1958.

Sidang media tersebut turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak SAC Lukas Akit dan Ketua Polis Daerah Kuching Ahsmon Bajah. — DayakDaily