Gempar wanita lahirkan bayi dalam tandas restoran

Kelihatan dua wanita membantu seorang wanita yang melahirkan bayinya di sebuah restoran di Bintulu.

BINTULU, Jun 29: Pelanggan di sebuah restoran di pusat bandar di sini gempar dengan kejadian seorang wanita yang melahirkan bayinya di dalam sebuah tandas di restoran berkenaan semalam.

Satu video klip yang memaparkan kejadian cemas itu turut tular di media sosial dengan wanita berkenaan melahirkan seorang bayi perempuan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi, wanita yang bersalin di dalam tandas berkenaan telah dibantu oleh dua wanita lain yang kebetulan berada di situ.


Menurut sumber, dua wanita yang menyaksikan kejadian itu kemudian menghubungi pihak hospital untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sebelum ketibaan pasukan perubatan, wanita yang melahirkan bayinya dikatakan telah meminta gunting untuk memotong tali pusat bayi yang baru dilahirkan.

“Namun, kedua-dua wanita berkenaan tidak membenarkan dia berbuat demikian kerana ia boleh membahayakan nyawa si ibu dan bayinya.

“Pasukan perubatan yang tiba kemudian membawa wanita dan bayinya ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili mengesahkan menerima maklumat berhubung insiden tersebut.

Jelasnya, ketika ini wanita dan bayi dilaporkan dalam keadaan stabil. — DayakDaily