Lelaki India ditemui mati tersangkut pada akar pokok

Keadaan mayat mangsa yang ditemui tersangkut pada akar pokok di tebing sungai.

KUCHING, Jun 29: Misteri kehilangan seorang lelaki warga India yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai sejak dua hari lalu terjawab apabila mangsa ditemui mati lemas di Sungai Kampung Sejingkat di sini hari ini.

Mangsa, Prashant Payal, 18, ditemui pada pukul 12.37 tengah hari oleh nelayan tempatan yang kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Faisal Saari berkata, sejurus menerima maklumat daripada nelayan itu, pihaknya bergegas ke lokasi untuk mengangkat mayat mangsa.


Katanya, apabila sampai, pasukan bomba menemui mayat mangsa tersangkut pada akar pokok di tebing sungai tersebut.

“Anggota bomba kemudian mengangkat mayat mangsa ke dalam bot sebelum dibawa ke Jabatan Laut.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga India dilaporkan hilang selepas terjatuh dari tongkang semasa dia sedang mandi di bahagian belakang tongkang berkenaan di Jeti Hock Seng Lee di Muara Tabuan di sini.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan dibawa arus deras dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu.

Anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut di lokasi bagi membantu operasi. — DayakDaily