Lima sekeluarga nyaris maut dalam kemalangan kendiri

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia.

SONG, Jun 29: Lima sekeluarga nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Kapit-Song di sini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kesemua mangsa dikatakan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Perodua Axia yang hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

Katanya, kesan kemalangan tersebut telah mengakibatkan kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu remuk teruk.

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaan itu lalu hilang kawalan lalu terbabas.

“Impak kemalangan itu turut menyebabkan cermin depan kereta tersebut pecah, bahagian atas dan depan kenderaan berkenaan juga remuk,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, siasatan awal mendapati jalan di lokasi kejadian adalah menuruni bukit dan berbatu.

Katanya, polis turut mengingatkan agar penguna jalan raya yang lain berhati-hati semasa melalui jalan berkenaan.

“Kes itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily