BINTULU, Feb 10: Penduduk di rumah panjang di Kelawit, Tatau di sini bagaikan berpesta susulan penemuan seekor ular sawa gergasi di sebuah kawasan hutan di situ semalam.
Ular sawa gergasi itu ditangkap dan dibunuh selepas dikesan bersembunyi di dalam sebuah batang pokok yang reput.
Difahamkan, reptilia yang ditangkap itu sepanjang kira-kira 7.15 meter dan seberat lebih 200 kilogram.
Selepas dibawa balik ke rumah panjang, penduduk setempat tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar dan video anakonda tersebut.
Sementara itu, jurucakap Sarawak Forestry Corporation (SFC) memberitahu, pihaknya mengambil maklum tentang penemuan ular sawa gergasi tersebut.
Katanya, sepasukan anggota SFC telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan tindakan lanjut.
“Ini merupakan kali pertama ular sawa gergasi seperti anakonda ditangkap di negeri ini,” ujarnya lagi. — DayakDaily