Gempar jumpa mayat terapung di Sungai Sarawak

Anggota bomba mengangkat mayat yang ditemui terapung.

KUCHING Dis 22: Penduduk di bandar raya ini gempar apabila satu mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Sarawak berhampiran sebuah kilang biskut di Jalan Pending di sini hari ini.

Mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui terapung oleh orang awam kira-kira pukul 10 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 10.02 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuching telah dikerahkan ke lokasi penemuan bagi menjalankan operasi mengangkat mayat tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba kemudian mengesan satu mayat lelaki dalam keadaan terapung di belakang kilang Borneo Biskut di sini.


“Anggota bomba kemudian menjalankan gerakan mengangkat mayat itu dari sungai dan operasi tamat pada pukul 11.48 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, mayat lelaki itu kemudian telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily