Gelanggang SLTA dilengkapi kemudahan bumbung tahun hadapan

Patrick (lima kanan) menyampaikan cenderamata kepada Henry (empat kiri) selesai sidang media di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 17 Dis: Sekurang-kurangnya dua Gelanggang Lawn Tenis Sarawak (SLTA) bakal dilengkapi dengan bumbung pada tahun hadapan.

Inisiatif bagi menyediakan kemudahan tersebut disuarakan Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep.

Katanya, ia bagi melancarkan pertandingan peringkat antarabangsa dan domestik yang diadakan di SLTA khususnya pada musim hujan.

Advertisement

“Cadangan membina gelanggang berbumbung di sini (SLTA) kerana kawasan ini selalu diguna untuk acara tenis peringkat antarabangsa.

“Bayangkan jika pemain sedang menunggu perlawanan akhir dan tiba-tiba hujan dan ia terpaksa ditunda, namun mereka telah menempah tiket penerbangan. Jadi situasi ini kita perlu bersedia.

“Sehubungan itu, sudah tiba masa untuk kita bergerak ke hadapan di mana kita tidak boleh menunda perlawanan dan gelanggang di sini perlu mempunyai bumbung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Kejohanan Antara Pasukan Tenis Piala Dato Henry Harry Jinep 2023, di SLTA, di sini hari ini.

Tambah Henry, perkara tersebut telah dibincangkan dengan Presiden SLTA Dato Patrick Liew bagi memohon peruntukan terbabit bagi melaksanakan projek tersebut.

Katanya, (Dato) Patrick akan meneruskan usaha ini dengan kementerian sukan untuk mendapatkan dana.

Jelas Henry, kos untuk membina bumbung untuk satu gelanggang berjumlah setengah juta, bermakna RM1 juta untuk kedua-dua gelanggang.

“Sekiranya peruntukan diberikan RM2 juta, ia boleh digunakan dan dimanfaatkan untuk menambah baik keperluan yang ada dj SLTA,” ujarnya.

Justeru, Henry berkata permohonan itu akan dihantar tahun depan dan mungkin sempat di gunakan untuk Sukan Sukma pada bulan Ogos 2024.

Dalam pada itu, Patrick berkata, perancangan itu tertakluk kepada kelulusan pembiayaan.

Terdahulu, Henry tiba di STLA untuk menyempurnakan Kejohanan Antara Pasukan Tenis Piala Dato Henry Harry Jinep 2023.

Aksi final kejohanan itu bagaimanapun ditunda pada Khamis depan memandangkan keadaan cuaca (hujan) di arena penganjuran. — DayakDaily

Advertisement