Gejala rasuah di Sarawak terkawal

Mohd Zaki Hassan (lima dari kiri) bergambar bersama pengamal media pada Program Nekik Gunung Benci Rasuah di Bung Jagoi, Bau.

KUCHING, 24 Okt: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak akan terus berusaha memastikan gejala rasuah di negeri ini terus dapat dibendung.

Pengarah SPRM Sarawak Mohd Zaki Hassan berkata, sehingga kini gejala rasuah negeri ini berada pada tahap terkawal berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Keadaan ini didorong usaha negeri ini dalam meningkatkan kesedaran masyarakat keburukkan gejala rasuah kepada masyarakat serta organisasi dan ker1ajaan negeri khususnya Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg telah melaksana pelbagai ikhtiar untuk membanteras gejala tersebut terutamanya melibatkan penjawat awam,” katanya ketika ditemui selepas program mendaki di Bung Jagoi, Bau bersama petugas media.


Katanya, SPRM sentiasa terbuka dalam menjalin kerjasama sama ada dengan kerajaan negeri atau sektor swasta bagi mewujudkan budaya integriti di dalam organisasi tersebut.

Program Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) ujar beliau terus mendapat sambutan daripada pihak swasta dan agensi kerajaan di Sarawak sehingga pihaknya tidak menang tangan dalam melaksanakan program terbabit.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat di Sarawak tentang keburukkan rasuah ini amat tinggi.

“Kita sentiasa membantu semua pihak untuk membantu dalam mewujudkan satu budaya yang berasaskan integriti supaya kalau ada budaya yang tidak sesuai itu kita ubah kepada budaya baharu yang pastinya akan mengatakan tidak kepada rasuah,” katanya.

Mohd Zaki berkata, peranan golongan media dalam pada itu amat diperlukan oleh SPRM dalam membantu usahanya mewujudkan satu sentimen masyarakat yang benci dan seterusnya menolak rasuah.

Ini kerana golongan tesebut kata beliau mampu membantu dalam mengubah persepsi masyarakat dari bersifat normal terhadap rasuah kepada sifat benci pada gejala tersebut. —DayakDaily