Gedong tidak terpencil lagi, berpotensi dibangunkan dengan aktiviti pertanian

Abang Johari (lima dari kanan) menyerahkan sebuah unit iPad kepada salah seorang wakil penerima di Dewan Terbuka Gedong. 
Advertisement

GEDONG, 17 Nov: Daerah Gedong berpotensi dibangunkan dengan pelbagai aktiviti ekonomi khususnya bidang pertanian, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, dengan terbinanya sistem jalan raya yang menghubungkan ke banyak kawasan sekitarnya, Gedong termasuk Simunjan bukan lagi kawasan terpencil.

“Kerajaan telah membina jalan raya menghubungkan Gedong dan Simunjan ke Sadong Jaya, Asajaya, Kota Samarahan terus ke Kuching.

Advertisement

“Ia juga dihubungkan ke Sebuyau terus ke Lingga dan menyeberangi jambatan Batang Lupar

“Gedong juga telah dihubungkan dengan Serian, bermakna kawasan ini menjadi lokasi pertengahan di dalam pembangunan yang berlaku di kawasan ini,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Pecah Tanah Jalan Gedong ke Lubok Teranggas di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, kemudahan infrastruktur ini membolehkan kerajaan mewujudkan Taman Agro di kawasan Gedong dan Simunjan sekaligus membantu rakyat menjana pendapatan.

“Kalau kita sudah buat jalan, kita boleh wujudkan Taman Agro di mana rakyat kita akan menjadi pekebun moden.

“Golongan belia boleh menggunakan teknologi internet dengan baik dan mereka boleh menjalin kerjasama dengan agensi berkaitan.

“Kalau sudah ada Taman Agro, ia akan menjadi sumber pengeluaran makanan,” ujar beliau.

Berhubung projek Jalan Gedong ke Lubok Teranggas, Abang Johari berkata ia memakan masa lima tahun dengan kos mencecah bilion ringgit.

Katanya, projek akan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Terdahulu di Dewan Terbuka Gedong, Abang Johari telah menyerahkan 150 unit Ipads kepada pelajar di Gedong dan Simunjan.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan merangkap MP Batang Sadong Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Belia Dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Infratruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi. — DayakDaily

Advertisement