Oleh Dean Adam
KUCHING, Nov 10: Gara-gara panik akaun bank akan dibekukan selepas didakwa terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram, seorang pensyarah kerugian sebanyak RM49,758 akibat terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kes yang berlaku ke atas lelaki berusia 30 tahun itu dilaporkan semalam.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan dari seorang perempuan bertanya sekiranya mangsa ada menerima surat tuduhan rasuah pada 8 Nov lepas.
“Suspek kemudian menyambungkan panggilan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama Rowen memaklumkan mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram.
“Seterusnya, suspek meminta mangsa bekerjasama dengan pihak polis dari Bukit Aman sebelum suspek menyambungkan panggilan kepada ‘Sb Wong’ dari Bukit Aman menerangkan mengenai kes tersebut,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang bernama Tuan Lim dari pihak Amla (Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan), meminta mangsa untuk membekukan akaun mangsa.
Katanya, mangsa panik dan takut atas ugutan akaun bank akan dibeku oleh suspek, mangsa kemudian menuruti arahan suspek untuk membuat pemindahan duit ke dalam akaun yang diberikan suspek.
“Pada hari yang sama kira-kira pukul 6.30 petang, mangsa telah membuat pemindahan wang secara dalam talian dari akaun mangsa RHB Bank ke akaun Bank Rakyat suspek sebanyak RM49,758.
“Selepas memasukkan wang ke dalam akaun suspek, mangsa gagal menghubungi suspek. Dia yang menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily