Pengundian PKR tenang di ibu pejabat negeri bagi cabang Bandar Kuching

Sia (tengah) menemui petugas di khemah pendaftaran pengundian.

KUCHING, Nov 9: Pengundian Calon Majlis Pimpinan Pusat dan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Bandar Kuching berjalan lancar dan bebas dari sebarang kekecohan di Pejabat PKR Sarawak, Bazaar Batu 3, pagi ini.

Tinjauan mendapati khemah besar untuk mendaftar undi di tempat letak kereta bawah pejabat terbabit kelihatan sehilintir ahli parti yang membuat pertanyaan atau mendaftar mengundi.

Suasana sekitar khemah terbabit juga kelihatan tenang dan lengang dengan hanya ada kelihatan petugas tempat pengundian serta sekumpulan anggota polis yang mengawal keselamatan.


Petugas di khemah pendaftaran pengundi PKR mendaftarkan pengundi ketika Hari Pengundian Calon Majlis Pimpinan Pusat.

Namun begitu, keadaan Bazaar Batu 3 sesak dengan kenderaan berikutan orang ramai membeli belah di pasar basah bersebelahan pejabat parti itu.

Ketua Cabang Bandar Kuching, Simon Sia, 32, berkata berikutan beliau menang tanpa bertanding jawatannya pada pengundian terbabit, maka ahli PKR Cabang Bandar Kuching hari ini hanya mengundi calon bagi Majlis Pimpinan Pusat PKR, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat PKR dan Wanita Pusat PKR.

“Hari ini kami (ahli PKR Cabang Bandar Kuching ) mengundi mereka di peringkat pusat sahaja termasuk untuk menentukan samada Datuk Seri Azmin Ali atau Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden parti,” katanya.

Sia berkata ketika ini, Cabang Bandar Kuching mempunyai 557 ahli berdaftar tetapi pihaknya menjangkakan seramai 100 atau 200 sahaja ahli yang akan keluar mengundi hari ini

Sehingga jam 10 pagi, sekitar 20 orang ahli sudah mengundi dan beliau yakin mereka tidak akan mempunyai masalah sepanjang proses pengundian secara elektronik atau e-voting di pejabat terbabit bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang.

“Setakat ini semuanya adalah aman sahaja, itu yang menjadi kebanggaan kita di Sarawak, harap ini akan berterusan,” katanya sambil mendedahkan esok ahli PKR bagi Cabang Stampin pula akan mengundi di ibu pejabat parti. — DayakDaily