Gara-gara ingin “rujuk” kembali, teman lelaki sanggup langgar mangsa

Ketiga-tiga suspek ditahan polis untuk tindakan lanjut.
Advertisement

MIRI, 29 Mei:  Seorang lelaki warga tempatan dan dua rakannya ditahan polis pada malam Jumaat, selepas mereka disyaki melanggar sebuah motorsikal dari belakang di Jalan Taman Jelita, Taman Tunku menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan pada badan.

Kesemua suspek berusia antara 34, 42 dan 45 tahun itu ditahan sekitar jam 8.14 malam, kurang dari tiga jam selepas disyaki melanggar mangsa.

Kejadian berlaku gara-gara suspek dikatakan ingin menjalinkan semula hubungannya dengan wanita tersebut yang juga merupakan bekas kekasihnya.

Advertisement

Semasa kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 5.30 petang semalam itu, mangsa berusia 29 tahun sedang membonceng sebuah motorsikal yang dipandu teman lelaki barunya sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah Proton Saga.

Akibat perlanggaran itu, mangsa dan teman lelakinya tercampak di tengah jalan.

Sejurus selepas dilanggar, bekas teman lelaki wanita tersebut, dilihat keluar dari kereta Proton Saga itu dengan membawa sebilah parang dan tukul besi.

Kerana ketakutan, mangsa dan rakannya telah melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis.

Difahamkan, wanita tersebut dan bekas teman lelakinya itu telah putus sejak bulan Februari tahun ini kerana tidak sehaluan.

Namun, bekas teman lelakinya masih belum ‘move on’ dan ingin menyambung kembali hubungan mereka.

Menurut Timbalan Ketua Polis daerah Miri Supt Sabri Zainol, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. — DayakDaily

Advertisement