Oleh Brad Rantayy
MIRI, 11 Okt: Taktik beberapa orang lelaki gantung langsir putih di atas pagar sebuah rumah di Pujut 6 di sini untuk menyembunyi kegiatan memecah masuk kantoi, selepas beberapa anggota unit ronda Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut awal pagi ini.
Namun, suspek berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota JKP menghampiri rumah tersebut sekitar jam 1.20 pagi.
“Rumah tersebut sudah lama tidak didiami untuk beberapa tahun dan dimiliki seorang warga Jepun yang bekerja di sebuah syarikat minyak di sini,” ujar pengerusi JKP Malateh Mahmud yang turut bersama dalam rondaan tersebut.
Hasil pemeriksaan lanjut, anggota JKP mendapati komponen sebuah kereta Toyota milik mangsa telah dileraikan oleh suspek.
Menurut Malateh, rumah tersebut juga pernah dipecah masuk pada tahun lepas.
“Pihak kita juga telah memaklumkan anak mangsa yang tinggal di Permyjaya mengenai kejadian itu,” katanya. — DayakDaily