Covid-19: 561 kes positif baharu dengan 2 kematian dan lima kluster baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Okt: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 561 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 553 kes tempatan dan lapan kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 15,657 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 4,587 kes,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, 553 kes tempatan adalah melibatkan 494 warganegara dan 59 bukan warganegara, manakala lapan kes import pula melibatkan lima warganegara dan tiga kes bukan warganegara.

Tambah beliau, terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 157 kes.

“Kes kematian ke-156 adalah kes ke-14,2598 melibatkan lelaki warganegara berumur 67 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

“Mangsa memiliki latar belakang penyakit jantung dan batuk kering (tuberculosis).

“Kes kematian ke-157 adalah kes ke-15,584 melibatkan lelaki warganegara yang berumur 62 tahun.

“Mangsa yang memiliki latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia di Hospital Tawau,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 133 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 10,913 kes atau 69.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 90 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat lima kluster baharu telah dikenal pasti iaitu tiga kluster di Sabah dan masing-masing satu kluster di Labuan dan Selangor.

Tiga kluster di Sabah adalah Kluster Surat, Kluster Kasih dan Kluster Khazanah manakala selebihnya Kluster Sungai Wey di Selangor dan Kluster Bah Bundle di Labuan. — DayakDaily