Gangguan bekalan air di Balai Ringin dan Matu Daro malam ini – JBALB

Water tap valve - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Feb 22: Seluruh kawasan Balai Ringin dan Matu Daro akan mengalami gangguan bekalan air mlm ini disebabkan kerja penyambungan paip oleh kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo.

Menurut Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, gangguan di Balai Ringin akan bermula jam 9 malam ini dan dijangka akan berterusan sehingga jam 5 pagi esok.

“Untuk makluman, pihak kontraktor Pan Borneo akan melakukan penyambungan paip utama berdekatan dengan kawasan Loji Balai Ringin, Serian,” menurut JBALB Sarawak di laman Facebooknya hari ini.

Menurut jabatan tersebut, gangguan bekalan air di daerah Matu Daro, Mukah, yang membabitkan seluruh Kampung Penipah, Kampung Tekajong dan Kampung Bruit, akan berterusan sehingga esok dan bergantung kepada kerja penyambungan paip pecah berdekatan Kampung Serdeng yang mengikut keadaan air pasang surut sungai.

Oleh itu, penyaluran air daripada tanki aras tinggi Serdeng ke stesen pengalak Semop tidak dapat dilaksanakan, kata jabatan tersebut.


“Pihak JBALB Sarikei ketika ini sedang berusaha membaiki paip pecah terbabit dan bersama JBALB Mato, akan membuat pemantauan secukupnya dan berusaha mengurangkan ganguan sepanjang tempoh terbabit.” — DayakDaily