KUCHING, 29 Sep: Gandingan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terbukti sebagai gandingan penuh keserasian.
Menurut Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, kedua-dua pemimpin saling hormat-menghormati serta memiliki persefahaman yang utuh.
“Anwar dan Abang Johari memegang satu tekad yang sama iaitu untuk memulih dan mengangkat semula martabat negara yang pernah dikenali sebagai the ‘Asian Tiger’,” kata Nanta.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Kapit di Dewan Suarah Kapit hari ini.
Tambah Nanta yang juga Ahli Parlimen (MP) Kapit, usaha mengangkat semula sebagai kuasa ekonomi Asia tidak mudah, tetapi ia boleh dicapai.
Katanya, gandingan Anwar dan Abang Johari juga dilihat sebagai satu gandingan ‘Segulai Sejalai’.
Ujar Nanta, ini diterjemahkan melalui penglibatan dan usaha secara serius kedua-dua pemimpin ini dalam meneroka teknologi baharu.
Pada masa yang sama, Anwar dan Abang Joharu memegang utuh aspek kesejahteraan rakyat yang tidak berbelah bahagi.
“Contoh ringkas, kalau di Sarawak kita ada agensi yang memantau perkembangan kawasan pedalaman.
“Di peringkat persekutuan pula, inisiatif memperbaiki sekolah daif, tandas sekolah, bantuan sara hidup kepada golongan yang memerlukan dan lain-lain turut diberi perhatian serius.
“Ia bukan sekadar gandingan menteri semata-mata, tetapi gandingan yang turut menyentuh aspek kemanusiaan tanpa mengira latar belakang,” tegas Nanta. — DayakDaily