KUCHING, Mac 14: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak mencadangkan sebuah galeri mempamerkan pelbagai bahan ilmiah berkaitan seni menyulam tudung keringkam yang menjadi budaya masyarakat Melayu Sarawak diwujudkan di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah
mencadangkan penubuhan galeri tersebut dan melihat kemungkinan meminta Jabatan Wanita Dan Keluarga Sarawak (JWKS) mewujudkan galeri itu di Pusat Sumber Wanita, Wisma Wanita di Petra Jaya.
“Saya mencadangkan kita mewujudkan tempat khas atau galeri kecil terbabit di sana (Pusat Sumber Wanita di Wisma Wanita), supaya hasil penyelidikan dan dokumentari kamu (penyelidik seni menyulam tudung keringkam) dapat dijadikan sebagai bahan ilmiah kepada generasi masa sekarang dan yang akan datang,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian “My Keringkam Stories” sempena Hari Wanita Sedunia 2018, di sini hari ini.
“My Keringkam Stories” ialah projek penyelidikan dan dokumentasi seni sulaman keringkam di Sarawak; ianya bakal mendokumentasikan sejarah lisan dan kisah mengenainya serta penyelidiknya mensasarkan 100 cerita mengenai pemilikan dan penghasilan keringkam diketuai Salliza Sideni, Danny Mohamad Zulkifli, Amirul Shazlie Yusuf dan Patricia Peng.
Fatimah berkata Pusat Sumber Wanita yang ditubuhkan (JWKS) amat sesuai menempatkan gelari terbabit kerana menjadi pusat mengumpulkan dan menyimpan segala maklumat dan penyelidikan mengenai pembangunan wanita di Sarawak dan pusat tersebut dihubungkan dengan Pustaka Negeri Sarawak bagi maklumatnya boleh diperolehi penyelidik atau pihak yang berminat di seluruh dunia.
“Kita juga boleh mengadakan demonstrasi di galeri itu nanti, jadi kalau ada pelawat datang ke Wisma Wanita, kita
boleh menjemput penyulam tudung keringkam membuat demontrasi untuk mereka disamping pelawat dapat melihat pelbagai dokumentari dan buku atau jurnal penyelidikan budaya itu,” katanya.
Tambah beliau, galeri tersebut juga akan dapat membantu memastikan budaya tudung keringkam yang dipakai wanita Melayu Sarawak tidak hilang ditelan zaman dan dapat membantu menimbulkan kembali minat generasi muda mempelajari seni menyulam tudung terbabit, disamping dibawah misi memperkasakan wanita pada 2018, pihaknya telah memasukan strategi ketujuh iaitu melalui budaya.
Berikutan itu, Fatimah berkata kementeriannya untuk sambutan Hari Wanita 2018 pada September depan bercadang memberikan dua gerai pameran kepada penyelidik “My Keringkam Stories” bagi mempamerkan dokumentari mereka kepada generasi muda supaya menarik minat mereka mewarisi budaya tersebut.
“Sekarang ini penyulam tudung keringkam yang paling muda berusia 29 tahun dan beliau adalah lelaki; dahulu susah hendak mencari penyulam dikalangan golongan muda tetapi kini sudah ada,” katanya.
Bagaimanapun,Fatimah menjangkakan negeri ini perlu lebih ramai penyulam muda kerana seni menyulam tudung keringkam mempunyai banyak corak yang perlu dipelajari dari kalangan penyulam veteran yang sebelum ini telah mewarisi seni menyulam terbabit dari ibu mereka. — DayakDaily