Belakang lori hempap kereta, dua wanita selamat

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Kampung Paon, Lundu hari ini.

LUNDU, Mac 14: Dua wanita mengalami detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori dan dihempap kenderaan tersebut dalam satu kejadian di Jalan Kampung Paon di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10.53 pagi itu, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 53 dan 54 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.55 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan kemalangan tersebut, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu Malaysia bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah lori dan kereta Perodua Axia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mangsa dalam tersepit dan mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah jurucakap sama, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, selepas berjaya mengeluarkan mangsa, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka dibawa ke Hospital Lundu untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas pasukan bomba memastikan keadaan jalan raya itu selamat,” katanya lagi. — DayakDaily