Gadis Bidayuh membawa kuntau, Jalur Gemilang ke Korea Selatan

Martina (kanan) dan Eliz yang sudah berada di Korea Selatan.
Advertisement

KUCHING, 30 Ogos: Sambutan Hari Kebangsaan esok adalah amat bermakna kepada dua pelajar 15 tahun, Martina Akim dan Eliz Olivea Robin, dari Kampung Daun, Singai, di Bau.

Ini kerana kedua mereka tidak menyambutnya di kampung halaman seperti biasa, tetapi di Korea Selatan sebagai wakil Malaysia dan juga Sarawak.

Mereka menjadi peserta Festival Seni Bela Diri Chungju Ke-19 dan Masterships Seni Bela Diri Dunia Ke-2, 2019, di Chungju yang bermula hari ini hingga 6 September depan.

Advertisement

“Saya sangat berbangga kerana terpilih mewakili Malaysia dan Sarawak di Korea Selatan dan menyambut Hari Kebangsaan tahun ini di luar negara.

“Tidak ramai akan berpeluang merasai pengalaman seperti ini dan mungkin sekali seumur hidup,” menurut Martina ketika majlis pelepasan Kontinjen Persatuan Seni Bela Diri Dayak Sarawak (SDMAA) dan Kelab Pemanah Berkuda Merpati Jepang (KPBMJ) ke Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, bersama rombongan SDMAA di majlis pelepasan mereka ke Korea Selatan

Keseluruhannya seramai 37 orang menyertai kontinjen SDMAA dan KPBMJ terbabit ke Korea Selatan dari Kelab Kutow Rusat Rimoung yang merupakan kelab seni mempertahankan diri kaum Bidayuh.

Martina berkata sambutan Hari Kebangsaan akan disambut mereka ketika pertandingan itu esok dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Sarawak serta menyanyikan juga lagu Negaraku.

“Selalunya Hari Kebangsaan disambut meriah di sekolah saya, kami dan guru banyak mengadakan aktiviti meraikannya, tetapi tahun ini saya tidak dapat menyertai mereka,” katanya.

Manakala, Eliz berkata beliau berharap dapat menyambut Hari Kebangsaan dengan mendapatkan pingat dalam pertandingan seni mempertahankan diri peringkat antarabangsa terbabit.

“Tidak kira pingat apa, asalkan ada membawa pingat pulang ke Malaysia nanti dan mengharumkan nama negara pada Hari Kebangsaan ini nanti,” kata pelajar SMK Singai tersebut.

“Saya berharap akan dapat mendedahkan seni mempertahankan diri kaum Bidayuh ke peringkat antarabangsa dalam pertandingan itu dan memperkenalkan keunikan budaya orang Sarawak dan Malaysia,” katanya yang sudah lima tahun belajar seni mempertahankan diri di Kelab Kutow Rusat Rimoung. — DayakDaily

Advertisement