Fahami maksud Hari Kebangsaan – Awang Tengah

Awang Tengah. (File photo)

KUCHING, 30 Ogos: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengajak rakyat Malaysia untuk memahami dan mengerti maksud perayaan Hari Kebangsaan.

Dengan tema sambutan pada tahun ini Malaysia Prihatin, beliau berkata ia adalah seiring dengan  aspirasi kerajaan dalam menyemai rasa cinta rakyat kepada negara kita.

“Kita seharusnya bersyukur kerana dapat merayakan sambutan ini dalam suasana aman dan damai.

“Justeru, seluruh rakyat Malaysia dan generasi muda khususnya, haruslah menghargai dan menghayati perjuangan serta pengorbanan pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu yang telah menghadiahkan kepada kita sebuah negara Malaysia yang kekal aman dan makmur,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian dalam teks ucapan rakaman Hari Kebangsaan 2021.

Tambah beliau, semangat persekutuan Malaysia ini seharusnya difahami oleh generasi muda.

Katanya, hanya dengan persefahaman dan semangat kesatuan, kita akan berupaya menjadikan negara kita terus kekal stabil, maju dan aman damai.

“Marilah kita perkukuhkan semangat perpaduan yang jitu tanpa mengira pegangan agama, bangsa, budaya dan latar belakang berbeza lebih lebih lagi dalam kita berdepan dengan pandemik Covid 19.

“Dengan semangat perpaduan yang jitu, kita akan dapat mengatasi cabaran cabaran yang ditemouk dalam memulihkan keadaan ekonomi dan meneruskan pembangunan demi untuk kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. — DayakDaily