Oleh Chris Bishop
KUCHING, 24 Mac: Acara futsal wanita tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia 2024 (SUKMA 2024) yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos depan.
Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia berikutan kurangnya penyertaan bagi acara tersebut.
“Kita ada syarat-syarat tertentu untuk SUKMA.
“Sekiranya satu-satu acara sukan itu tidak cukup penyertaan iaitu sekurang-kurangnya enam negeri, maka acara itu akan digugurkan.
“Jadi kemungkinan futsal wanita tidak mencapai penyertaan enam negeri,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui di Penutupan Kursus Pentadbiran Sukan di Kuching semalam.
Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 32 sukan bakal dipertandingkan termasuk 4 acara baharu iaitu tinju, muay thai, petanque dan e-sport.
Antara 28 sukan wajib yang akan dipertandingkan ialah akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran dan hoki.
Turut disenaraikan pingpong, taekwondo, karate, sepak takraw, tenpin boling, wushu, bola sepak, bola jaring, bola tampar dan tenis.
Dengan pemilihan untuk menganjurkan SUKMA 2024 bermakna Sarawak menjadi tuan rumah temasya itu buat kali ketiga.
Sebelum ini, Sarawak pernah menjadi tuan rumah pada 1990 dan kali kedua pada 2016. — DayakDaily