Oleh Dean Adam
KOTA SAMARAHAN, Dis 3: Seramai 16 penuntut Sarjana Sains Pembangunan Sumber Manusia (MSc HRD) dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah berjaya mengadakan Program Pemangkin Organisasi Dinamik di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (Pitas) di sini baru-baru ini.
Program berkenaan turut disertai seramai 40 orang pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Pengarah program Mohamad Haffizie Putit berkata, program tersebut dirangka di bawah kelas pengajian ‘Design & Management of Training Programmes’ (KMS6033) yang bertujuan memberi peluang serta pendedahan kepada para penuntut dalam berkolaborasi dengan agensi luar khususnya korporat, swasta, mahupun kerajaan bagi menjayakan penganjuran program latihan jangka pendek yang telah dikenalpasti.
Katanya, program latihan tersebut juga diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara Unimas dan JPNS sekali gus terus memupuk ikatan kekeluargaan dalam kalangan para pegawai JPNS yang telah sekian lama utuh terjalin dan terus mengekalkan kemantapan kerjasama berpasukan serta komunikasi berkesan.
“Antara aktiviti yang diadakan semasa program tersebut adalah sesi perkongsian bersama Prof Madya Dr Abang Ekhsan Abang Othman dan Professor Dr Rusli Ahmad, Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Unimas.
“Pelaksanaan modul-modul latihan istimewa juga telah dirangka khusus berdasarkan kepada keperluan sebenar pegawai-pegawai dan JPNS secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Mohammad Haffizie juga berharap agar program tersebut dapat memberikan manfaat bersama kepada ketiga-tiga pihak yang terlibat iaitu penuntut, Unimas dan JPNS.
Katanya, beliau juga yakin program sama akan terus menjadi landasan kepada lebih banyak lagi kerjasama pada masa akan datang.
“Penganjuran program ini telah berjalan dengan lancar dengan penyertaan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak khususnya FSKPM, para pensyarah, pengurusan tertinggi JPNS, para peserta, Pitas dan semua ahli jawatankuasa penganjuran yang menunjangi erti kata kerjasama pasukan yang amat jitu dan padu,” jelasnya.
Penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Dekan FSKPM, Dr Surena Sabil. — DayakDaily