KUCHING, 14 Sept: Usaha mengembalikan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963(MA63) harus diberi penekanan yang lebih besar dengan temeterainya memorandum persefahaman (MoU) Transformasi Politik dan Kestabilan.
Menurut ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, MA63 adalah salah satu aspek yang digariskan di dalam MoU tersebut yang ditandatangani oleh kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH) pada semalam.
āDengan sokongan bipartisan dalam isu ini, saya berharap agar proses mengembalikan hak Sarawak dapat dipercepatkan dengan pendekatan yang lebih inklusif,ā katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu tambah Fazzrudin, MoU turut mengariskan aspek memperkukuhkan rancangan pemulihan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan kehakiman dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Katanya, MoU itu membuka lembaran baharu dalam sejarah negara pada masa di mana kestabilan politik diperlukan dalam menangani krisis Covid-19 dan ekonomi.
Dengan MoU tersebut ujar beliau, diharap transformasi dan pembaharuan dapat dilaksanakan dengan lancar dan dipersetujui oleh semua pihak, dengan kerjasama para pemimpin dalam pembangkang dan kerajaan.
āPada masa yang sama, umum mengetahui ketidakstabilan yang melanda negara telah melemahkan keyakinan pelabur berpunca dari permainan politik yang menyebabkan pergolakan.
āDengan kesepakatan yang dicapai melalui MoU tersebut, ia akan dapat merangka iklim pelaburan yang kondusif untuk mendorong pertumbuhan ekonomi yang sihat di negara ini dan dapat menjamin kesejahteraan rakyat.
āSudah tentu, Sarawak juga akan dapat manfaat daripada pemulihan di peringkat negara,ā ujar beliau lagi.
Menerusi kenyataan itu,Fazrrudin yakin kestabilan yang dicapai melalui MoU bakal mempercepat proses pemulihan dan membantu golongan yang terkesan oleh krisis pandemik Covid-19.
Beliau juga berpendapat bahawa persepakatan ini harus menjadi norma baharu di mana pembangkang harus memainkan peranan mereka dalam pemulihan negara.
Jelas beliau, ini adalah kerana pada akhirnya mereka juga mewakili rakyat di mana kerajaan dan pembangkang mesti meletakkan kepentingan yang tinggi pada rakyat.
āSaya selalu percaya bahawa diplomasi harus sentiasa dipertimbangkan dalam sistem pemerintahan di mana perundingan harus menjadi amalan biasa untuk mencari jalan keluar atau solusi menang-menang dalam menangani masalah yang dihadapi.
āIni dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat dalam sistem politik dan demokratik negara dan menanamkan nilai kematangan politik,ā ujar Fazzrudin. ā DayakDaily