KUCHING, 27 Sept: Rancangan Malaysia ke-12 (RMke-12) menerusi fokus ketujuh jelas menunjukkan komitmen kerajaan menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkannya secara spesifik demi melonjak pembangunan di Sarawak.
“Ini bertepatan dengan keperluan di Sarawak yang masih tidak setara, berdiri belum sama tinggi, duduk belum sama rendah berbanding dengan Semenanjung Malaysia.
“Ketidaksetaraan ini wujud dalam aspek infrastruktur asas seperti jalan kampung dan jalan penghubung desa, perparitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fatimah yang juga ADUN Dalat mengulas berhubung pembentangan RMKe-12 di sidang Parlimen oleh Ismail Sabri hari ini.
Tambah Fatimah, infrastruktur untuk pendigital juga sangat diperlukan khususnya di luar bandar .
Menurut beliau, jurang antara bandar dan luar bandar semasa dalam pelaksanaan dan keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) sangat jelas dan ini harus diberi tumpuan oleh kerajaan persekutuan, manakala rumah adalah keperluan asas manusia yang menjadi tempat untuk berlindung dari hujan dan panas, tempat selamat untuk keluarga.
“Masih ramai lagi keluarga miskin memerlukan bantuan bina baru dan baikpulih rumah. Sehubungan itu peruntukan untuk bina baru dan baik pulih rumah rakyat miskin sangat diperlukan.
“Untuk tujuan tersebut peruntukan yang sewajarnya harus diberi kepada Sarawak bawah teras kelima RMke-12,” ujar Fatimah. — DayakDaily