RM100 untuk penerima kebajikan melalui Program Sejambak Kasih sempena CNY

Fatimah (tiga dari kanan) menyampaikan piala kepada Termizi Yusuf yang memenangi Pertandingan Catur Inggeris Golongan Kurang Upaya Malaysia Antarabangsa Lions Ke-2 di Aeroville Mall, Jalan Stutong, Kuching, hari ini (Jan 5, 2020).

KUCHING, Jan 5: Setiap penerima bantuan kebajikan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini yang meraikan Tahun Baru Cina (CNY) akan menerima wang Program Sejambak Kasih dari kerajaan Sarawak sebanyak RM100 bulan ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang berkata demikian, mendedahkan pihaknya ketika ini sedang secepat mungkin menyediakan pemberian wang program tersebut kepada penerimanya di seluruh Sarawak sebelum perayaan itu hujung bulan ini.

“Jumlah wang (program Sejambak Kasih) tahun ini adalah sama seperti tahun lepas (2019) iaitu RM100. Berikutan Tahun Baru Cina jatuh Januari 25 depan, jadi kami sedang menyediakan wang terbabit secepat mungkin bagi diagihkan seawal mungkin kepada penerimanya,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Catur Inggeris Golongan Kurang Upaya Malaysia Antarabangsa Lions Ke-2 di Aeroville Mall, Jalan Stutong, di sini, hari ini.


Fatimah berkata sebahagian penerima bantuan kebajikan bulanan di negeri ini yang meraikan Tahun Baru Cina akan menerima wang RM100 program itu di majlis penyampaian yang sudah dijadualkan di seluruh negeri dan akan dihadirinya atau Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Hollis.

Manakala sebahagian penerima bantuan kebajikan bulanan JKM yang tidak dapat menghadiri majlis itu akan menerima wang program itu yang dimasukkan terus ke akaun bank mereka.

“Sekiranya penerima bantuan kebajikan JKM seperti bantuan orang tua, biasanya menerima RM350 setiap bulan dalam akaun. Bulan ini beliau yang menyambut Tahun Baru Cina akan menerima tambahan RM100 dari kerajaan Sarawak dalam program ini dan jadi keseluruhannya diterimanya ialah RM450,” katanya.

Namun Fatimah belum ada lagi butiran terperinci bila majlis penyampaian wang terbabit akan diadakan dan juga bila wang itu akan dimasukkan ke akaun bank penerimanya bulan ini. Beliau menegaskan pemberian wang itu hanya di Sarawak sahaja bagi perayaan Tahun Baru Cina, Gawai Dayak, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Beliau juga tiada butiran mengenai jumlah keseluruhan penerima wang program itu bagi kesemua perayaan utama itu bagi tahun ini.

Bagaimanapun, sejumlah 46,376 penerima bantuan kebajikan bulanan di Sarawak termasuk golongan kurang upaya, warga tua, dan golongan miskin telah menerima RM100 wang program itu pada Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. — DayakDaily