Fatimah: Hanya 15 peratus wanita terlibat peringkat kepimpinan, satu ketuai GLC negeri

Fatimah (empat dari kiri) bergambar bersama tujuh penerima Anugerah Pengiktirafan Khas semperna Hari Wanta Antarabangsa. Turut kelihatan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (lima dari kiri).

KUCHING, 17 Mac: Seramai 12 orang atau 15 peratus sahaja golongan wanita yang terlibat dengan peringkat kepimpinan di sektor perkhidmatan Awam Sarawak, manakala hanya seorang sahaja kalangan golongan terbabit yang dilantik untuk mengetuai Syarikat Milik Kerajaan negeri (GLC) sehingga kini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunaan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah tersebut masih rendah walaupun wanita kini sudah diberi kepercayaan untuk memimpin sesebuah organisasi.

Katanya daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja sektor perkhidmatan awam negeri, terdapat seramai 1,840 (47.19 peratus) wanita lagi berada dalam kumpulan pengurusan dan profesional pada ketika ini.


“Suara wanita masih belum benar-benar didengar kerana masih ramai yang prejudis dengan hasrat murni wanita untuk sama-sama membangun negeri yang kita cintai ini.

“Masih wujudnya stigma dan ‘stereotyping’ yang membataskan keterlibatan wanita Sarawak dalam bidang tertentu,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun golongan tersebut mempunyai akses kepada pendidikan, kemajuan dunia tanpa sempadan, dan terlibat dalam pelbagai sektor pembangunan negeri namun hakikatnya wanita Sarawak masih berdepan pelbagai kekangan dan cabaran.

Katanya, ada diantara wanita Sarawak yang masih dibelenggu dengan isu seperti kemiskinan, keganasan rumah tangga serta penderaan kanak-kanak yang didapati menunjukkan peningkatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kita sedar masih banyak yang perlu dilakukan di peringkat pembuat dasar ke arah memastikan hasrat murni kaum hawa akhirnya menjadi realiti yang menjamin kehidupan yang lebih sejahtera dan harmoni di masa hadapan.

“Namun begitu, wanita juga perlu melakukan tindakan dan berusaha untuk mempercepat proses merealisasi aspirasi tersebut,” katanya.

Pada masa sama, tegas Fatimah, wanita Sarawak juga harus mempunyai kualiti peribadi unggul, berani, berdaya tahan, fleksibel, bijak mengatasi tekanan dan bangkit mendepani cabaran selari dengan tuntutan era digital.

“Kita memerlukan dua tangan untuk bertepuk agar ia menghasilkan bunyi justeru. Dalam kesempatan ini saya ingin menyeru semua wanita Sarawak agar terus berusaha bersungguh-sungguh membina keupayaan diri dengan ilmu dan kemahiran serta melengkapi diri dalam bidang kepimpinan, pengaruh sosial dan cara pemikiran yang analitikal,” katanya. — DayakDaily