Fatimah: Kejayaan Bonnie pecah rekod dunia, inspirasi kepada atlet lain

Dato Sri Fatimah Abdullah
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Jun: Kejayaan atlet para negara Bonnie Bunyau Gustin atas pencapaian cemerlangnya memecahkan rekod dunia acara powerlifting pasti menjadi inspirasi kepada atlet lain.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, pencapaian itu sudah tentu akan menaikkan semangat khususnya atlet para Sarawak untuk terus gigih berlatih.

Advertisement

“Saya tahu bagaimana perasaan orang kelainan upaya (OKU) apabila mendengar pencapaian Bonnie dan ini memberi inspirasi kepada mereka untuk berlatih bersungguh-sungguh demi mencapai impian.

“Bagi setiap atlet para, kalau kita tanya apa impian mereka, jawabnya adalah untuk meraih pingat dan menempa nama demi Sarawak tercinta dan Malaysia.

“Jadi, mereka ingin menaikkan nama Sarawak, seterusnya mengembangkan potensi ke tahap maksima,’katanya pada sidang media selesai Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak yang diadakan secara maya hari ini.

Bonnie,22, atlet berasal dari Kampung Taiee, Serian memecahkan rekod dunia dengan angkatan seberat 230 kg dalam kategori lelaki atas 72 kg pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu kelmarin.

Beliau merangkul pingat emas, menewaskan atlet China, Peng Yu (214 kg) dan atlet Nigeria, Nnamdi Innocent (213 kg)

Bonnie memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami yang melakukan angkatan seberat 229 kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.

Ia merupakan kejayaan kedua berturut-turut Bonnie tahun ini, selepas beliau menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara sama pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand bulan lepas. — DayakDaily

Advertisement