Fatimah: KDN diminta pertimbang serius isu permohonan kewarganegaraan

Fatimah (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 17 Jan: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mempertimbangkan dengan serius isu permohonan kewarganegaraan dari Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah berharap KDN melihat ia sebagai satu isu penting untuk ditangani segera.

“Kita amat berharap dengan usaha yang dibuat di bawah Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan, apabila permohonan itu sudah dicadangkan untuk diluluskan, kita minta KDN untuk melihat isu ini sebagai penting untuk ditangani.


“Sebab ia melibatkan kanak-kanak yang akhirnya tidak bersekolah dan tidak mendapat perkhidmatan perubatan, sebab jika ke hospital mereka akan dikenakan caj yang tinggi.

“Ada di antara mereka menunggu lama sehingga mencecah umur lebih 21 tahun dan sukar hendak mendapatkan pekerjaan kerana tiada dokumen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2022 anjuran Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Kuching Heng Hua Seng Ing Tong di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, sokongan dan cadangan daripada Jawatankuasa Khas seharusnya dapat dipertimbangkan oleh KDN dengan segera.

“Bila borang permohonan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ia telah memenuhi senarai yang diperlukan.

“Permohonan mengambil masa yang lama sehinggakan menjejaskan masa depan pemohon.

“Perlu ada persefahaman tentang isu ini dan penting ditangani segera. Lima tahun terlalu lama, begitu juga tiga atau dua tahun,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 2,814 orang menerima bantuan wang tunai RM100 di samping hamper bernilai RM80 sempena Tahun Baru Cina 2022 daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Menurut Fatimah, ia bagi meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan.

“Ia juga bagi membantu meningkatkan kualiti hidup di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Pada majlis hari ini, seramai 90 orang penerima bantuan bulanan kebajikan menerima sumbangan tersebut.

Selain di Kuching, sumbangan serupa juga diserahkan di bahagian-bahagian lain dengan jumlah keseluruhan 6,106 penerima.

Dalam pada itu, Fatimah memaklumkan bahawa JKM Sarawak telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM243,162,850 untuk 52,363 orang penerima bantuan bulanan di seluruh negeri pada tahun 2021.

Manakala Pejabat JKM Bahagian Kuching pada tahun 2022 telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM46,566,200 untuk 9,848 orang penerima bantuan bulanan. — DayakDaily