Fatimah: Cadangan pindaan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak ada asasnya

Fatimah bercakap kepada pemberita di Kuching hari ini (Feb 19, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, FEB 19: Ketua Wanita PBB, Datuk Seri Fatimah Abdullah bersetuju dengan cadangan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dipinda supaya tidak membenarkan bukan warga Sarawak bertanding pada pilihan raya negeri.

Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan kanak-Kanak berkata cadangan itu ada asasnya.

Cadangan pindaan itu dibangkitkan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang rentetan kes bekas ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon yang dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat baru-baru ini.

Namun, tambah Fatimah, apa yang dipraktikan di Sarawak ialah calon pilihanraya sering dari kalangan anak tempatan.

“Dari sudut pemilihan calon pilihanraya, calon dipilih dari kawasan itu sendiri kerana beliau akan lebih faham keperluan rakyat di kawasan tersebut.

“Dengan ini, calon tersebut boleh berkhidmat dengan berkesan kepada rakyat.

“Tak perlu pindaan pada perlembagaan pun sudah memadai kerana ia merupakan kriteria pemilihan calon,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke Taska Qaseh Laila di Jalan Bampfylde hari ini.

Tambah Fatimah lagi, sentimen rakyat negeri ini inginkan anak tempatan dipilih sebagai calon.

Idris menerusi kenyataan media semalam berkata, cadangan tersebut bukan bermaksud takut kepada mana-mana orang luar Sarawak untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri.

Katanya, ia dirasakan wajar dilakukan agar selaras dengan tren semasa politik Sarawak.

Beliau menggesa pemimpin kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar mempertimbangkan pindaan rang undang-undang ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri seterusnya. — DayakDaily