Fasa 2A Projek Pembangunan Darul Hana dijangka siap hujung tahun ini

Dr Abdul Rahman (empat dari kiri) bersama kakitangan Pelita dan agensi lain menunjukkan poster Karnival Darul Hana 2019 pada sidang media di pejabat Pelita, Wisma Satok.

KUCHING, April 10: Projek Pembangunan Darul Hana berjalan lancar dengan Fasa 2A projek itu membabitkan sebanyak 78 unit rumah di hadapan Masjid Darul Hana, Petra Jaya di sini dijangka akan siap dibina penghujung tahun ini.

Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata demikian dengan ketika ini 78 rumah terbabit sudah siap sebahagian besar stuktur bangunannya sehingga bahagian atap.

“Dijangkakan projek itu bagi Fasa 2A (78 unit rumah) yang terletak di hadapan Masjid Darul Hana akan siap suku ketiga tahun ini atau penghujung tahun ini, manakala Fasa 1A yang lebih banyak unit rumah (478 unit) di seberang jalan (Masjid Darul Hana) dan bersebelahan stesen minyak Petronas dijangka siap penghujung 2020,” katanya ketika mengadakan sidang media mengenai Karnival Darul Hana 2019 di pejabat Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (Pelita), Wisma Satok, di sini, semalam.


Dr Abdul Rahman berkata ini bermakna keseluruhannya ada sebanyak 556 unit rumah bagi Fasa 1A dan 2A berhampiran masjid itu dan menjangkakan kumpulan pertama penduduk dari tiga kampung Seberang Hilir akan menjadi penghuni projek perumahan terbabit secara rasmi pada suku pertama 2021 ataupun mungkin juga lebih awal.

Beliau berkata 556 unit rumah Fasa 1A dan 2A bagaimanapun hanya sebahagian Projek Pembangunan Darul Hana yang keseluruhannya akan membina rumah untuk penduduk 13 kampung di kawasan itu yang dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun.

“Kita masih ada banyak lagi unit rumah yang akan dibina (dalam Projek Perumahan Darul Hana) kerana kesemuanya ada 8 Fasa atau blok yang keseluruhan bagi penduduk 13 kampung di Seberang Hilir,” katanya.

Menurut beliau, jenis rumah yang akan dibina di 8 fasa perumahan terlibat juga akan pelbagai samada jenis rumah teres, semi-d atau bungelow yang setingkat atau dua tingkat.

Katanya projek tersebut dilaksanakan kerajaan negeri bagi memberi kediaman lebih selesa kepada penduduk 13 kampung di Seberang Hilir dan akan menjadi model bagi memindahkan penduduk kampung di kawasan bandar lain di Sarawak.

Sementara itu pada sidang media terbabit, beliau mengumumkan Karnival Darul Hana 2019 di Perkarangan Masjid Darul Hana akan berlangsung selama tiga hari iaitu April 13, 14 dan 19 depan.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka akan merasmikan karnival tersebut yang kali pertama diadakan pada April 13 depan, jam 10 pagi,” katanya, sambil menambah karnival itu dianjurkan Pelita selaku agensi utama melaksanakan Projek Pembangunan Darul Hana.

Dr Abdul Rahman mengulas, antara acara utama yang menarik karnival terbabit pada April 13 dan 14 ialah sukan rakyat, pertandingan gerai tradisi, pameran agensi kerajaan, demontrasi permainan mensia marek, dan acara Darul Hana Berselawat.

“Kami juga mahu penduduk kampung Seberang Hilir menunjukkan barangan lama dalam rumah mereka pada karnival ini kerana pihak Jabatan Muzium Sarawak mungkin akan memilih barangan terbabit bagi dipamerkan di Muzium Warisan Darul Hana yang akan dibina kerajaan negeri,” katanya.

Manakala pada acara karnival untuk April 19, acara utamanya ialah Larian Keluarga Darul Hana bermula jam 6.45 pagi dan dijangkakan akan disertai seramai 800 peserta dengan 300 peserta yang terawal menamatkan larian akan diberikan piala kenangan. — DayakDaily