FAMA buat pemantauan harga barangan susulan SST

Federal Agricultural Marketing Authority/ Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan

KUCHING, Sept 2: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membuat pemantauan harga barang makanan di seluruh negara susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula Sept 1 lalu.

MOA dalam satu kenyataan berkata, usaha tersebut dilakukan untuk memantau sekiranya terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Semua pegawai FAMA telah turun padang untuk memantau harga barangan di pasar bukan sahaja di pasar FAMA.

“Pemantauan juga dilakukan di pasar biasa untuk kita pantau daripada pelbagai aspek sekiranya ada peniaga yang sewenangnya menaikkan harga barang,” kata MOA hari ini.

MOA menambah, pemantauan tersebut akan dilakukan dalam tempoh beberapa bulan seterusnya.

Kata MOA, sekiranya didapati kenaikan harga yang tidak munasabah FAMA akan melaporkannya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

“Pengguna perlu mengetahui kadar SST yang dikenakan terhadap barang yang dibeli kerana tidak semua barangan yang dikenakan cukai berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dicaj kepada semua barangan,” tambah MOA.

Berkuatkuasa Sept 1 lalu, SST dilaksanakan bagi mengantikan GST.

Pelaksanaan SST itu adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 telah diluluskan Parlimen pada Ogos 20 lepas.

Sehingga kini, kira-kira 77,000 peniagaan telah didaftarkan di bawah SST melalui pemindahan automatik dari sistem GST dan peniaga telah dimaklumkan melalui emel.

Daripada jumlah itu, 32,577 merupakan pendaftaran bagi cukai jualan dan 44,874 adalah pendaftaran bagi cukai perkhidmatan.

Ini menunjukkan kos pematuhan dijangka akan menurun kerana kebanyakkan peniaga tidak perlu berdaftar di bawah SST, cuma pengilang barangan tertentu dan penyedia perkhidmatan sahaja yang perlu berdaftar. — DayakDaily