KUCHING, 29 Dis: Kontraktor Melayu dan Bumiputera perlu menganggap setiap projek sebagai satu peluang untuk menunjukkan prestasi
perlaksanaan yang terbaik.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf, ia melibatkan kualiti, produktiviti dan profesionalisme selain dapat
menyiapkan projek di dalam jangka waktu yang ditetapkan.
“Kontraktor ini juga perlu sentiasa meningkatkan kapasiti dan kapabiliti supaya mereka berupaya membida dan melaksanakan
projek-projek swasta dan tidak terlalu bergantung kepada projek-projek kerajaan.
“Saya percaya, kontraktor-kontraktor kecil yang mempunyai rekod kerja yang baik, tidak akan menghadapi masalah dalam mendapatkan
projek-projek dari sektor swasta,’ katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia(PKMM) Ke-41 yang diadakan secara
maya di Kuala Lumpur hari ini.
Jelas Fadillah, meskipun peruntukan kerajaan untuk projek-projek mega diberikan kepada kontraktor utama, namun kontraktor-kontraktor kecil masih berpeluang untuk bersaing mendapatkan kerja-kerja subkontraktor di bawah projek-projek mega tersebut.
Justeru, beliau berharap agar kontraktor Bumiputera terus berusaha, berinisiatif dan berdaya saing merebut semua peluang sedia ada dan pada masa yang sama perlu lebih proaktif dan bersiap sedia dalam keadaan norma baharu yang penuh cabaran dan perubahan.
“Di dalam dunia perniagaan, kontraktor mestilah mengenalpasti peluang sepanjang masa,’ katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata peluang berniaga di Malaysia amat luas dan para kontraktor tidak harus memasuki hanya bidang yang sudah padat dipenuhi atau bidang-bidang tertentu sahaja, tetapi agar berani lebih inovatif dan berani menerokai bidang-bidang baru seperti bidang teknologi pertanian, petroleum dan gas, teknologi maklumat dan multimedia.
“Negara kita kini memerlukan lebih ramai usahawan yang mempunyai pemikiran positif, strategik dan berilmu pengetahuan dalam bidang
perniagaan bagi menghadapi persaingan global.
“Mereka harus berani berdepan risiko untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang dan pasaran-pasaran baharu yang tidak hanya bergantung kepada sektor pembinaan semata-mata,’ ujar Fadillah. – DayakDaily