Abdul Karim: Jabatan Muzium kaji ‘tangki’ logam yang ditemui di Pantai Lutong

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah —file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Dis: Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengarahkan Jabatan Muzium membuat kajian terhadap penemuan dua ‘tangki’ logam di Pantai Lutong di Miri semalam.

Katanya, pakar daripada jabatan tersebut akan dipanggil untuk membuat kajian dan memberi jawapan kepada penemuan itu.


“Sehingga kini saya seperti yang lain hanya boleh membuat spekulasi.

“Ia mungkin peninggalan Perang Dunia Kedua atau sebahagian daripada struktur logam yang digunakan di dalam kerja-kerja minyak dan gas.

“Kita telah mengarahkan Jabatan Muzium untuk membuat kajian,” katanya pada sidang media bersempena Sambutan Tahun Baharu 2021 di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting menerusi satu hantaran di Facebook miliknya semalam berkata, penemuan terbaharu selepas berlakunya hakisan akan menambah lebih banyak sejarah kepada bahagian Miri.

Beliau melawat lokasi logam di Pantai Lutong itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam yang ingin mengetahui sumber logam tersebut.

Sementara itu, gambar logam tersebut yang dimuat naik di media sosial menarik perhatian netizen.

Terdapat spekulasi menyatakan ia mungkin logam tongkang yang tersadai di Pantai Lutong pada 28 September lalu. — DayakDaily